Friday, May 14, 2021

Tingkatkan amalan 3W, jauhi 3S, 3C


By: Megat Harris Iskandar 



Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan pendekatan 3W dengan mengelakkan 3S atau 3C sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian bagi mengawal penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Perkara ini termasuk dengan elak bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah serta elakkan amalan kunjung-mengunjung.

Selain itu, Elakkan 3S dan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).




Ingatlah kepada S.O.P. S ialah syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). O pula orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi.

Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan. P pula penjarakan sosial diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Pihaknya KKM sentiasa memantau perkembangan semasa jangkitan wabak di dalam dan luar negara melalui maklumat diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan orang ramai akan sentiasa dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini.


Pelanjutan tempoh Kuarantin bagi Pengembara Yang Tiba dari India dalam Misi Bantuan Kemanusiaan.

 By: Megat Harris Iskandar




                Negara India telah merekodkan bilangan jangkitan harian melebihi 300 ribu kes sejak April 2021 dan yang tertinggi di dunia pada masa ini serta telah mengambil kira situasi ini, Kerajaan Malaysia telah meluluskan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief – HADR) untuk membawa pulang dari India rakyat Malaysia dan pasangan/keluarga mereka.

            Penerbangan dari India telah membawa pulang 132 orang (64 lelaki dan 68 perempuan) iaitu 117 orang rakyat Malaysia, 8 orang warga Brunei, 4 orang warga Denmark, 2 orang warga India dan seorang warga Indonesia yang terdiri dari 92 orang dewasa serta 40 orang kanak-kanak dengan membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RT-PCR Covid-19 negatif sahaja.

            Mengambil kira keputusan dan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi penumpang yang tiba dari India bagi misi HADR pada 12 Mei 2021 dan juga penumpang yang tiba melalui penerbangan repatriasi pada 13 Mei 2021, iaitu daripada 14 hari kepada 21 hari.

            Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk memberi kerjasama dalam mengekang kemasukan varian baharu dari India, iaitu varian B.1.617 yang dilaporkan lebih cepat menular dan menyebabkan gejala yang lebih serius termasuk dalam kalangan yang berusia di bawah 50 tahun, Sentiasa patuhi SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa. Bersama kita perangi Covid-19!


Patuh SOP ketika Sambutan Hari Raya

 By: Megat Harris Iskandar 




Dalam sidang media hari ini, KKM dan MKN amat menekankan keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti negara kita yang semakin meruncing.


Sempena perayaan Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam di seluruh negara pada hari esok 13 Mei 2021, KKM mengingatkan rakyat supaya sentiasa patuh pada SOP Hari Raya seperti yang telah dikeluarkan oleh MKN.


Rakyat dinasihatkan untuk mengelakkan dari menghadiri sebarang perhimpunan besar-besaran termasuk solat Hari Raya beramai-ramai melebihi had dibenarkan, dan menangguhkan aktiviti ziarah-menziarahi termasuk menziarahi kubur.


Seperti yang dilaporkan oleh KKM, majoriti mereka yang dijangkiti akhir-akhir ini tidak mempunyai gejala (78.4 peratus) dan ini menjadikan risiko jangkitan serta penularan adalah amat tinggi sekiranya aktiviti kunjung mengunjung di hari raya tetap dilaksanakan.


Berikut merupakan SOP yang telah ditetapkan khas di musim perayaan ini oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob:

  • Tiada rentas sempadan negeri dan daerah (berdasarkan sempadan daerah ditetapkan Kerajaan Negeri);

  • Solat Sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah; dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri;

  • Tiada majlis sosial seperti aktiviti ziarah dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.