Monday, May 24, 2021

Kenyataan Media MKN 25 May 2021

 By: Hanis Sophia



Kes jangkitan virus COVID-19 dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kini amat membimbangkan dan menjadi antara golongan yang berisiko dijangkiti virus COVID-19 selepas warga emas.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu perlu menjadi peringatan kepada semua agar terus bertanggungjawab melindungi golongan itu daripada dijangkiti.

"Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sehingga hari ini, seramai 48,261 orang kanak-kanak dan bayi telah dijangkiti COVID-19 dengan 6,290 adalah merupakan bayi berumur 18 bulan ke bawah."

Justeru ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak seperti mengelakkan mereka bermain di luar rumah, memakai pelitup muka serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman," katanya dalam kenyataan harian berkenaan perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Beliau berkata, orang dewasa bertanggungjawab melindungi kanak-kanak dan bayi daripada dijangkiti virus itu.

Menurutnya, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, orang dewasa juga perlu melakukan "self lockdown" atau sekatan pergerakan kendiri bagi mengelak diri, anak-anak dan keluarga tersayang terkena jangkitan.

Vaksin COVID-19 AstraZeneca selamat digunakan di Malaysia.

 By: Megat Harris Iskandar 


Vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca adalah selamat digunakan di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengambil maklum isu status keselamatan vaksin AstraZeneca di luar negara, Dr Adham memaklumkan bahawa COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn Bhd yang telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas (2021) adalah selamat digunakan di Malaysia.

Menurut data keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca yang diperolehi daripada kajian klinikal setakat 4 November 2020 yang melibatkan kira-kira 12,000 sukarelawan, menunjukkan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan.

Kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai ringan (mild) atau sederhana (moderate).

Selain itu, Data juga menunjukkan kesan sampingan ini dilaporkan berkurang pada suntikan dos kedua berbanding dos yang pertama.

Kajian klinikal juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan darah termasuk penggumpalan darah setelah menerima suntikan vaksin itu.

Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 sentiasa terjamin.

Pelaporan kesan 'advers' susulan imunisasi vaksin COVID-19 boleh dilakukan melalui anggota kesihatan, pelaporan terus kepada NPRA laman sesawang, www.npra.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan advers ringan.

Pada 15 Mac lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand sebelum ini dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.

Tak dibenarkan 'Dine-in' dalam kenderaan.

By: Megat Harris Iskandar 


Restoran dan kedai makan tidak dibenarkan memberi perkhidmatan untuk 'dine-in' atau makan dalam kereta pelanggan di kawasan yang terbabit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata selagi tidak ada prosedur operasi standard (SOP) baharu dikeluarkan larangan terhadap aktiviti itu masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi.


Aktiviti 'dine-in' dalam kenderaan ini mungkin suatu idea baharu selepas larangan untuk makan di dalam premis dikuatkuasakan. Walaupun aktiviti itu diadakan secara ahli keluarga ia masih tidak dibenarkan dan melanggar SOP.


Orang ramai dan pengusaha premis makanan dinasihatkan supaya menghentikan aktiviti ini dan hanya dibenarkan bawa pulang supaya tidak dikenakan tindakan.


Kerajaan sebelum ini mengeluarkan SOP tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis dan aktiviti 'dine-in' di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengusaha premis makanan yang menghantar makanan secara hidangan kepada pelanggan untuk makan dalam kenderaan, melanggar pematuhan SOP.


Setakat ini, sebuah premis makanan di Miri dikompaun pada Jumaat lalu kerana menyediakan layanan sedemikian. Bagaimanapun, sekiranya pelanggan membeli secara bungkus dan makan di dalam kenderaan mereka sendiri, ia tidak menjadi kesalahan.


6,509 kes baharu, 61 kematian direkodkan, tertinggi setakat ini

 By: Megat Harris Iskandar


Malaysia merekodkan jumlah kematian akibat COVID-19 tertinggi pada Isnin iaitu sebanyak 61 kes.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian melibatkan virus itu sebanyak 2,309 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan dalam masa sama, sebanyak 6,509 kes baharu positif COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif adalah 518,600 kes.

Selangor merekodkan kes jangkitan tertinggi dengan 2,049 kes, diikuti Sarawak (530), Kelantan (451), serta Johor dan Kuala Lumpur masing-masing 468 kes.

Jelasnya, 3,452 pesakit sembuh direkodkan menjadikan kes pulih keseluruhan sebanyak 456,273 kes.

Selain itu, keseluruhan kes aktif dalam negara kini mencecah angka 60,018.

Katanya, seramai 711 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 369 memerlukan bantuan alat pernafasan.