By: Megat Harris Iskandar
Timbul
pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat selepas Tan Sri Dr Noor Hisham
Abdullah menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka berganda dalam usaha
mengekang penularan wabak Covid-19.
Rata-rata
mempersoalkan sama ada tindakan itu berkesan untuk membendung penularan virus
berbahaya itu atau ia sekadar langkah berjaga-jaga.
Menjelaskan
mengenai perkara itu, Pegawai Perubatan Klinik Ajwa Shah Alam, Dr. Arisman
Abdul Rahman memaklumkan, perkara itu hanya cadangan daripada Pusat Kawalan dan
Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) dalam meningkatkan tahap
perlindungan atau penapisan pada pelitup muka.
Berdasarkan kajian CDC, pemakaian pelitup muka secara
berganda dapat memberikan perlindungan sehingga 85.4 peratus berbanding hanya
56.1 peratus jika memakai pelitup muka perubatan tunggal (selapis).
Sebenarnya dalam musim sekarang dengan penularan wabak yang
lebih bahaya atau varian Covid-19 baharu ini kita cukup digalakkan untuk
memakai dua lapisan pelitup muka dan termasuklah jika berada di tempat berisiko
tinggi seperti hospital, klinik atau tempat yang sesak dan sempit.
Pemakaian pelitup muka berganda juga bukan boleh dilakukan
secara semberono sebaliknya lapisan pertama perlu menggunakan pelitup muka
perubatan (3 ply surgical mask/medical mask) sebelum memakai pelitup muka kain
sebagai lapisan kedua.
Dengan cara ini jelasnya, ia dapat mengetatkan dan memastikan
pelitup muka lapisan pertama tidak menjadi longgar dan menutupi ruang di
celah-celah tepi, atas dan bawah pelitup muka.
Jangan pakai dua pelitup muka 3 ply surgical mask pada masa
yang sama, ia tidak disarankan oleh CDC atau pun WHO.
Sudah pasti apabila memakai pelitup muka berganda, akan
timbul rasa tidak selesa atau sukar bernafas. Jika perkara ini berlaku termasuk
serangan panik, sebaik-baiknya hanya pakai satu lapis pelitup muka sahaja.
Anda masih selamat dengan menggabungkan langkah-langkah
pencegahan lain seperti mengamalkan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan
serta penting untuk memakai pelitup muka, perlu dilakukan dengan cara yang
betul dengan membuang tabiat meletakkan pelitup muka di dagu atau
menggunakannya berulang kali.
Ia penting dalam memberi perlindungan bukan sahaja kepada diri sendiri
tetapi juga orang sekeliling.