Kadar jangkitan COVID-19 hari ini terus meningkat dan merekodkan angka tertinggi dengan 6,976 kes. Perangkaan tertinggi kes harian yang dicatatkan sebelum ini ialah pada 20 Mei lalu, sebanyak 6,806 kes. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 2,235 kes, diikuti Kelantan (626) dan Johor (549). Katanya, pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan yang direkodkan di Malaysia meningkat kepada 512,091 kes, dengan kes aktif sebanyak 57,022.
"Daripada 6,976 kes hari ini, lima adalah kes import membabitkan seorang warganegara dan empat rakyat asing. "Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini membabitkan 681 kes, dengan 361 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Susulan langkah mengetatkan prosedur operasi standard membabitkan sektor ekonomi dan sosial, Dr Noor Hisham menegaskan, kejayaan tindakan yang diperkenalkan kerajaan kini disandarkan kepada pematuhan oleh pelbagai pihak daripada semua lapisan masyarakat serta segmen.
Contohnya, beliau memohon majikan dan jabatan memberi kerjasama dengan arahan dan SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kakitangan yang hadir ke tempat kerja mengikut kapasiti seperti ditetapkan kerajaan.
"Masyarakat digesa untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengurangkan kes COVID-19 yang kian meningkat dengan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara kendiri di rumah, iaitu disiplin diri yang tinggi dalam mematuhi apa juga nasihat dan peraturan dikeluarkan kerajaan.

0 Comments:
Post a Comment