By: Nia Amira
Sebanyak 666,495 individu telah
melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19
Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau menerusi akaun Twitternya hari ini
berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 1,060,773 individu yang telah
menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos
pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,727,268 dos setakat semalam.
Menurut infografik dikongsikan beliau,
lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan
144,372 dos, Kuala Lumpur (106,093), Sarawak (102,265), Perak (93,011) dan
Johor (90,195).
Setakat semalam 40.9 peratus atau
9,924,276 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan
Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,549,809 individu.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos
pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya,
manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022, membabitkan
individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran
13.7 juta orang atau lebih.

0 Comments:
Post a Comment