By : Nurul Husna Binti Mohammad Hysham
KUALA LUMPUR: Semua janji temu dos kedua AstraZeneca akan dikemaskinikan tidak lama lagi.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata proses kemas kini itu akan dilaksanakan tidak lama lagi dan tempoh umum yang ditetapkan adalah 12 minggu.
"Masih ada yang belum mendapat tarikh janji temu (dos kedua) dalam aplikasi mereka.
"Bagaimanapun, hal ini diselesaikan secepat mungkin," katanya menerusi ciapan twitter.
Sebelum ini, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dilaporkan, berkata tempoh masa antara suntikan dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 buatan AstraZeneca ditetapkan pada 12 minggu.
Khairy memaklumkan, jarak tempoh masa selama 12 minggu itu selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta amalan di United Kingdom (UK).
Sebanyak 160,000 slot janji temu membabitkan empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas iaitu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL); Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC); Dewan 1, Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya (UM); dan Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Individu yang layak sudah diberikan tarikh janji temu antara 5 Mei hingga 5 Jun depan bagi WTCKL, manakala IDCC pula 24 Mei hingga 6 Jun.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan beliau mengunjungi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi menyaksikan sesi 'Dry Run Field ICU'atau percubaan di lapangan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang akan didirikan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
"'Field ICU' ini berkonsep modular dan mampu merawat hingga 27 pesakit kritikal COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan dan alat sokongan hayat," katanya menerusi twitter.

0 Comments:
Post a Comment