Thursday, May 6, 2021

Teliti had usia pemberian vaksin COVID-19

By : Nurul Husna Binti Mohammad Hysham 


Malaysia disaran meneliti had usia bagi pemberian vaksin COVID-19 yang ditetapkan ketika ini, dengan turut membabitkan remaja berusia bawah 18 tahun.

Bagaimanapun, langkah itu perlu melihat kepada hasil ujian klinikal fasa tiga ke atas populasi berkenaan oleh syarikat farmaseutikal terbabit, selain mengambil kira kesan sampingan yang boleh berlaku.

Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata cadangan untuk memberikan vaksin kepada golongan lebih muda termasuk kanak-kanak sering diutarakan sebelum ini, namun belum menjadi kenyataan kerana masih menjalani fasa ujian klinikal.

"Jika vaksin diberikan kepada remaja (di bawah usia 18 tahun), ia akan mengurangkan jangkitan dalam kalangan pelajar.

"Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira kesan sampingan yang berlaku iaitu kemungkinan akan menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti sakit dan tidak hadir ke sekolah," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, supaya Malaysia mencontohi keputusan Kanada meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 untuk remaja berusia 12 tahun ke atas.

Kanada kelmarin meluluskan penggunaan vaksin berkenaan untuk remaja berusia 12 tahun ke atas, negara pertama mengambil langkah itu.

Keputusan itu dibuat berdasarkan data hasil ujian klinikal di Amerika Syarikat (AS) membabitkan lebih 2,000 remaja yang diberi dua dos vaksin itu, yang menunjukkan ia selamat untuk remaja sama seperti orang dewasa.

Sharifa Ezat berkata, jika cadangan itu dapat dilaksanakan, beliau mencadangkan golongan berusia 18 tahun ke bawah diberikan suntikan vaksin yang hanya memerlukan satu dos saja bagi meningkatkan tahap pengambilan.

"Kita sudah melihat kesan jangkitan COVID-19 kepada pelajar yang menyebabkan beberapa kluster terjadi, malah penyakit ini dikatakan semakin menyerang golongan usia muda, tidak hanya pesakit warga emas.

"Justeru, dengan timbulnya varian baharu, wajar pemberian vaksin untuk mereka diteliti," katanya.

Sementara itu, pakar perubatan keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, berpandangan Malaysia perlu meneliti segera had usia pemberian vaksin COVID-19, susulan langkah diambil Kanada itu.

"Keputusan pemberian vaksin kepada remaja di Kanada berdasarkan pengisytiharan pengkaji yang sudah menjalankan kajian klinikal fasa tiga membabitkan 2,260 remaja berusia 12 hingga 15 tahun pada pada awal April lalu.

"Hasil kajian itu mendapati tidak seorang pun remaja dijangkiti COVID-19 selepas vaksin Pfizer diberikan. Justeru, Malaysia perlu meneliti perkara ini," katanya.

0 Comments:

Post a Comment