Monday, May 24, 2021

Vaksin COVID-19 AstraZeneca selamat digunakan di Malaysia.

 By: Megat Harris Iskandar 


Vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca adalah selamat digunakan di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengambil maklum isu status keselamatan vaksin AstraZeneca di luar negara, Dr Adham memaklumkan bahawa COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn Bhd yang telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas (2021) adalah selamat digunakan di Malaysia.

Menurut data keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca yang diperolehi daripada kajian klinikal setakat 4 November 2020 yang melibatkan kira-kira 12,000 sukarelawan, menunjukkan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan.

Kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai ringan (mild) atau sederhana (moderate).

Selain itu, Data juga menunjukkan kesan sampingan ini dilaporkan berkurang pada suntikan dos kedua berbanding dos yang pertama.

Kajian klinikal juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan darah termasuk penggumpalan darah setelah menerima suntikan vaksin itu.

Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 sentiasa terjamin.

Pelaporan kesan 'advers' susulan imunisasi vaksin COVID-19 boleh dilakukan melalui anggota kesihatan, pelaporan terus kepada NPRA laman sesawang, www.npra.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan advers ringan.

Pada 15 Mac lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand sebelum ini dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.

0 Comments:

Post a Comment